shopify analytics ecommerce
tracking

Featured Properties

Newly Added Properties

View MoreView More

Ipoh ( 6 Unit Rumah Teres 1 Tingkat )

Ipoh

Residential Type: Single Storey Terrace

Built Up: 940 sq.ft.

Bedroom: 3

Bathroom: 3

Price from

MYR 294,800

Gopeng ( 5 Unit Kedai 1 Tingkat )

Ipoh

Commercial Type: Shop Lot / Lot Kedai

Price from

MYR 300,000

News

View More View More

Dah lama siap, banyak lot rumah Bumiputera tak terjual, kata Rehda

26 September 2024
PETALING JAYA: Hampir separuh ahli Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan mempunyai unit kediaman yang belum terjual setakat Jun. Menurut tinjauan industri oleh persatuan itu, sebahagian besar rumah yang tidak terjual ini terdiri daripada lot Bumiputera. Presiden Rehda Ho Hon Sang berkata, 33% daripada lot Bumiputera ini masih tidak terjual walaupun setelah tiga tahun siap. Saya percaya ini isu yang perlu ditangani oleh industri, katanya di Wisma Rehda hari ini. Tinjauan itu menunjukkan, pada separuh pertama tahun ini, 47% daripada lot Bumiputera yang tidak terjual berharga antara RM500,000 hingga RM700,000, manakala 29%, terdiri daripada rumah-rumah berharga antara RM300,000 dan RM500,000. Selain lot Bumiputera, kata Ho, ahli Rehda memetik permintaan rendah dan penolakan pinjaman pembiayaan akhir oleh bank sebagai punca utama terdapat lebihan rumah tidak terjual. Katanya, kadar purata permohonan pinjaman hartanah yang ditolak pada tahap 31%.Ini bermakna, daripada 100 permohonan pinjaman 31 daripadanya mungkin ditolak  katanya. Mungkin 31  unit ini perlu dijual semula kepada pihak lain, atau pembeli yang berminat perlu menyediakan lebih banyak dokumen atau bukti untuk menyokong pinjaman mereka  katanya. Menurut tinjauan itu lagi, 69% responden berdepan cabaran pembinaan pada separuh pertama tahun ini, dengan harga bahan binaan yang tinggi memberikan impak kritikal terhadap operasi perniagaan. “(Harga) pasir meningkat kira-kira 15%, manakala kaca naik 15% dan konkrit 13%. (Kenaikan ini) merangkumi lebih 10% daripada kenaikan (jumlah harga) berbanding setahun yang lepas.Lebih 90% daripada responden juga melihat peningkatan lebih tinggi (pada harga) bahan binaan berbanding tahun sebelumnya  kata Ho. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/09/12/dah-lama-siap-banyak-lot-rumah-bumiputera-tak-terjual-kata-rehda/  

Rumah bawah RM300,000 paling banyak tidak terjual di Perak

24 September 2024
IPOH: Situasi hartanah yang tidak terjual di Perak tidak membimbangkan kerana sebahagian besar hartanah tersebut berharga RM300,000 dan ke bawah. Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Perak (Rehda Perak), Loh Ban Ho, berkata kebanyakan hartanah yang tidak terjual berada dalam julat harga berkenaan dan tidak membimbangkan kerana ia boleh diserap dengan mudah oleh pasaran, walaupun tidak terjual selama sembilan bulan selepas dilancarkan. "Di Perak, terdapat sekitar 4,000 hartanah tidak terjual yang direkodkan pada suku pertama tahun ini. Namun, jumlah tersebut sedikit berkurangan pada separuh kedua tahun ini. "Sebahagian besar hartanah yang tidak terjual tertumpu di tiga kawasan iaitu Manjung, Teluk Intan, dan Kinta," katanya pada sidang media Rehda Perak di sini, hari ini. Rehda Perak menyasarkan untuk mempamerkan 5,000 hartanah bernilai RM3 bilion di Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2024. Acara ini yang menampilkan 20 pempamer dan lebih 20 pemaju akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober di Ipoh Parade dan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Timbalan Pengerusi Rehda Perak, May Ang Chan Moy, berkata hartanah yang berharga antara RM90,000 hingga RM3.34 juta setiap unit akan tersedia dari pelbagai lokasi termasuk Ipoh, Kampar, Bidor, Taiping, Seri Iskandar dan Bangsar South, Kuala Lumpur. "Di MAPEX Perak 2024, pembeli rumah kali pertama yang membeli hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah akan layak untuk pengecualian duti setem 100 peratus yang sah sehingga 31 Disember 2025," katanya. Selain itu, Chan Moy berkata 300 baucar bernilai RM500 setiap satu tersedia secara 'siapa cepat dia dapat' dan salah satu pemaju yang mengambil bahagian menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah sebuah kereta Honda untuk pembeli yang membeli unit kediaman semasa ekspo tersebut. "Kami percaya MAPEX 2024 akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan industri hartanah Perak. Dengan menyediakan platform untuk inovasi, kolaborasi dan perkongsian pengetahuan, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua," katanya. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/09/1300919/rumah-bawah-rm300000-paling-banyak-tidak-terjual-di-perak  

Article

View More View More

Proses dan syarat mengurus, menjual harta pusaka

26 September 2024
Kehilangan orang yang tersayang adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Namun, begitulah hakikat kehidupan yang harus kita tempuhi. Yang masih hidup haruslah meneruskan perjalanan kehidupan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing terutamanya dalam pengurusan harta peninggalan si mati atau lebih dikenali sebagai harta pusaka. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat, harta pusaka memberi makna harta warisan atau harta peninggalan si mati dan harta turun-temurun daripada nenek moyang yang hanya boleh digunakan oleh kaum keluarga sahaja dan tidak boleh dijual. Bagaimanapun, dari segi sudut perundangan harta pusaka boleh dijual namun haruslah melalui suatu proses perundangan yang mana urusan pusaka haruslah diselesaikan terlebih dahulu. Selanjutnya, harta pusaka juga boleh terbahagi kepada Harta Pusaka Islam dan Harta Pusaka Bukan Islam. Menurut syariat Islam, tuntutan pengurusan harta pusaka adalah fardhu kifayah. Oleh itu, waris-waris, terutamanya apabila seseorang itu telah meninggal dunia dan telah meninggalkan apa juga harta yang di bawah pemilikannya haruslah diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang permasalahan di kemudian hari. Isu harta pusaka ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat, namun masih ramai orang yang tidak jelas berkenaan pengurusan harta pusaka apabila seseorang itu telah meninggal dunia. Apabila ia dibiarkan dan tidak diuruskan dengan segera setelah kematian seseorang itu, ia akan membangkitkan isu yang lebih rumit di kemudian hari. Oleh itu, kesemua waris haruslah cakna dalam pengurusan harta pusaka ini bukan sahaja dari segi sudut pengurusan asetnya sahaja malahan liabiliti atau hutang-hutang si mati juga harus diutamakan. Langkah pertama yang harus dilaksanakan apabila seseorang itu meninggal dunia adalah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Probet. Probet adalah suatu proses untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Tujuan probet adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undang-undang. Wasiat yang ditinggalkan oleh orang bukan beragama Islam adalah sah selagi mana ia tidak bercanggah dengan mana-mana Akta atau Ordinan dan tambahan pula bagi orang yang beragama Islam, harta yang boleh diwasiatkan adalah tidak lebih daripada satu pertiga harta pusaka kepada orang yang lain selain waris-waris yang berhak. Manakala, Surat Kuasa Mentadbir pula adalah suatu proses perlantikan pentadbir yang sah di sisi undang-undang bagi menguruskan harta pusaka si mati sama ada harta tak alih mahupun harta alih. Harta tak alih ialah harta yang tidak boleh dipindahkan dari tempat asalnya seperti kediaman, kedai, tanah dan ladang. Manakala, harta alih pula ialah harta yang boleh dipindahkan seperti wang ringgit, saham, akaun simpanan bank, barang kemas, kenderaan, insurans dan sebagainya. Waris-waris harus mengenal pasti kesemua harta-harta pusaka si mati kerana keseluruhan jumlah nilaian harta pusaka si mati inilah yang akan menentukan di mana permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir bagi pengurusan kesemua harta pusaka si mati boleh dibuat. Terdapat beberapa institusi yang boleh dibuat namun haruslah memenuhi kriteria yang tepat kerana institusi- institusi ini mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri dan tidak boleh dibuat permohonan secara bertindih. Oleh itu, keseluruhan jumlah nilaian harta pusaka peninggalan si mati mesti diketahui oleh pihak waris. Antara institusi yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir yang terdapat di dalam industri perundangan di Malaysia adalah Amanah Raya, Pesaka Kecil dan juga Mahkamah Tinggi. Ketiga-tiga institusi ini mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir yang sah. Bagaimanapun, ketiga-tiga institusi ini mempunyai perbezaan syarat permohonan yang berbeza-beza bagi setiap kes dan hanya satu saluran sahaja yang dibuat permohonan. Sekiranya terdapat dua permohonan yang dibuat, maka salah satunya hendaklah dibatalkan. Bagi institusi Amanah Raya yang mana ia ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, permohonan hanya boleh dibuat bagi harta si mati yang mana harta pusakanya adalah harta alih yang tidak melebihi RM600,000 sebagaimana yang diperuntukkan dibawah seksyen 17 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532). Oleh itu, waris-waris yang mempunyai kepentingan ke atas harta pusaka si mati yang tidak melebihi RM600,000 dan dalam bentuk harta alih sahaja bolehlah membuat permohonan kepada Amanah Raya. Bagaimana pula bagi si mati yang mempunyai harta pusaka yang melebihi RM600,000 dan juga harta tak alih. Permohonan bagi kategori ini boleh dibuat sama ada di Pesaka Kecil atau Mahkamah Tinggi.   Perbezaan di antara kedua permohonan di Pesaka Kecil dan juga Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan nilaian keseluruhan harta pusaka si mati yang mana jumlahnya kurang daripada RM2 juta adalah di bawah kuasa Pesaka Kecil dan sekiranya lebih, Pesaka Kecil tidak mempunyai kuasa dan permohonan haruslah dibuat di Mahkamah Tinggi. Bagi permohonan di Amanah Raya dan juga Pesaka Kecil, waris boleh terus hadir ke institusi yang berkenaan bagi membuat permohonan dengan mengisi borang-borang yang tertentu dan mengemukakan permohonan dengan maklumat yang lengkap berserta dokumen-dokumen yang membuktikan kematian si mati. Manakala, bagi permohonan di Mahkamah Tinggi pula, permohonan hendaklah dibuat melalui firma guaman dan perlu membuat perlantikan peguam. Dokumen-dokumen berkaitan seperti Sijil Mati bagi pembuktian kematian si mati serta dokumen-dokumen berkenaan harta pusaka si mati seperti geran tanah, penyata akuan dan sebagainya hendaklah diserahkan bagi membolehkan pihak peguam menyediakan kertas kuasa untuk membuat permohonan di Mahkamah Tinggi. Setelah permohonan dibuat, pihak mahkamah akan menentukan suatu tarikh bicara bagi mendengar permohonan oleh pemohon atau pentadbir untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir. Sekiranya pihak mahkamah berpuas hati dan semua suratcara adalah teratur, pihak mahkamah akan mengeluarkan suatu perintah seperti yang dipohon. Setelah Surat Kuasa Mentadbir diperoleh dan pentadbir dilantik bagi pengurusan harta pusaka si mati, maka pentadbir mempunyai kuasa bagi melaksanakan tugasnya untuk mentadbir keseluruhan harta pusaka si mati seperti mana yang telah dipohon dan dimeterai di dalam Surat Kuasa Mentadbir berkenaan sama ada harta pusaka itu dibahagi secara persetujuan bersama oleh kesemua waris-waris atau pembahagian secara faraid. Sekiranya terdapat mana-mana lagi harta pusaka si mati yang tidak tersenarai di dalam senarai harta yang telah dipohon di dalam Surat Kuasa Mentadbir berkenaan. Pentadbir tidak akan mempunyai kuasa untuk mentadbir harta pusaka itu dan permohonan harta tercicir haruslah dibuat sekali lagi di institusi yang berkenaan. Oleh itu, amatlah penting untuk dikumpulkan kesemua harta pusaka si mati dengan teliti supaya tiada yang tercicir dan memudahkan perjalanan proses pengurusan harta pusaka si mati. Sekiranya terdapat harta pusaka si mati yang hendak dilupuskan atau dijual, dan kemudiannya untuk dibahagikan hasil jualan berkenaan kepada waris-waris atau bagi penyelesaian liabiliti si mati, waris hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Pesaka Kecil atau Mahkamah Tinggi terlebih dahulu. Terdapat beberapa cara boleh dilakukan, antaranya adalah membuat proses turun milik kepada nama waris yang berhak mendapat harta itu terlebih dahulu dan kemudiannya barulah boleh dijual kepada pembeli. Selain itu, waris boleh mendapatkan Perintah Jualan dari Mahkamah atau Pesaka Kecil tanpa perlu diturun milik kepada waris. Dalam hal ini, kesepakatan waris hendaklah dicapai sebelum permohonan boleh dibuat kerana kesemua waris yang layak mendapat harta pusaka itu perlu menandatangani dokumen-dokumen yang berkaitan bagi permohonan ini dibuat. Antara lain, faktor yang perlu diambil tahu juga adalah kos-kos yang terbabit. Bagi setiap proses, kosnya adalah berlainan bergantung kepada permohonan yang dibuat sama ada permohonan Surat Kuasa Mentadbir sahaja atau permohonan untuk mendapatkan perintah penjualan harta pusaka kerana kedua-duanya adalah proses yang berbeza. Kos-kos permohonan ini hendaklah dibuat kepada institusi-institusi di mana permohonan itu dibuat. Selain itu, kos-kos yang terbabit ini juga boleh dimohon daripada Mahkamah Tinggi atau Pesaka Kecil untuk ditanggung oleh harta pusaka si Mati. Kesimpulannya, meskipun pengurusan harta pusaka dan penjualan harta pusaka adalah sesuatu yang rumit, namun waris-waris haruslah menguruskan harta pusaka si mati dengan secepat yang mungkin bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari. Waris-waris juga haruslah sepakat supaya proses pengurusan harta pusaka ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa sebarang masalah atau pertelingkahan dalam kalangan waris. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/09/1301603/proses-dan-syarat-mengurus-menjual-harta-pusaka  

Inisiatif deposit Madani bantu belia miliki rumah pertama

23 August 2024
KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperkenalkan inisiatif deposit Madani dengan nilai maksimum RM30,000 kepada pembeli rumah pertama adalah langkah positif dan strategik untuk membantu belia memiliki rumah pertama. Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata dari sudut ekonomi, inisiatif itu boleh memberi impak signifikan terhadap kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia. Ini kerana katanya, berdasarkan statistik terkini dari Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia berusia antara 25 hingga 34 tahun masih rendah dengan anggaran sekitar 35 peratus. "Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kos permulaan yang tinggi, termasuk deposit pembelian rumah. "Oleh itu, dengan menyediakan bantuan deposit sehingga RM30,000, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama. "Ini akan meningkatkan kemampuan belia untuk membeli rumah, seterusnya membantu mengurangkan jurang pemilikan rumah yang wujud antara golongan belia dan kumpulan umur lain," katanya kepada BH, hari ini. Semalam, media melaporkan inisiatif deposit Madani sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah pertama antara cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025. KPKT bercadang melaksanakan pemberian deposit itu selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku'. Menterinya, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata inisiatif itu bertujuan meringankan bayaran bulanan pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40 serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal. Mengulas lanjut, Mohd Izzat Afifi berkata, dari segi ekonomi makro, inisiatif itu dijangka dapat merancakkan lagi pasaran hartanah negara dengan meningkatkan permintaan terhadap rumah. Katanya, peningkatan itu boleh memberi kesan positif kepada industri pembinaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Bagaimanapun katanya, keberkesanan inisiatif itu memerlukan pelaksanaan yang teliti dan menyeluruh termasuk pemantauan rapi untuk memastikan golongan sasaran layak, mendapat manfaatnya. Selain itu katanya, terdapat juga keperluan untuk memastikan bahawa inisiatif itu tidak menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak yang boleh membebankan pembeli. "Jika dibandingkan dengan negara lain, beberapa negara telah memperkenalkan inisiatif seumpama ini dengan kejayaan yang berbeza-beza. "Sebagai contoh di Australia terdapat Skim Deposit Rumah Pertama membolehkan pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman perumahan dengan deposit yang lebih rendah sekitar lima peratus tanpa perlu membayar insurans pinjaman perumahan. "Skim ini telah membantu ramai individu memiliki rumah pertama mereka, namun kritikan juga muncul apabila harga rumah terus meningkat, menyebabkan pembeli masih menghadapi kesukaran walaupun dengan bantuan deposit," katanya. Justeru katanya, walaupun inisiatif itu boleh meningkatkan kadar pemilikan rumah, ia juga berpotensi mendorong kenaikan harga rumah dalam jangka panjang. Katanya, apabila permintaan meningkat akibat daripada bantuan kewangan yang disediakan, ia boleh menyebabkan pembangun hartanah menaikkan harga rumah, sekali gus mengurangkan keberkesanan inisiatif ini. Selain itu katanya, walaupun inisiatif itu membantu dari segi deposit, golongan belia masih perlu berdepan dengan bayaran bulanan pinjaman perumahan yang mungkin tinggi. "Jika tidak diimbangi dengan pendapatan yang stabil dan mencukupi, ini boleh membawa kepada tekanan kewangan jangka panjang," katanya. Bagaimanapun katanya, inisiatif deposit Madani berpotensi memberi kesan positif yang signifikan kepada pembeli rumah pertama di Malaysia, terutama jika ia diuruskan dengan baik dan tidak menyebabkan kesan sampingan seperti kenaikan harga rumah yang berlebihan. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1288376/inisiatif-deposit-madani-bantu-belia-miliki-rumah-pertama