shopify analytics ecommerce
tracking

Featured Properties

Newly Added Properties

View MoreView More

Ipoh ( 6 Unit Rumah Teres 1 Tingkat )

Ipoh

Residential Type: Single Storey Terrace

Built Up: 940 sq.ft.

Bedroom: 3

Bathroom: 3

Price from

MYR 294,800

Gopeng ( 5 Unit Kedai 1 Tingkat )

Ipoh

Commercial Type: Shop Lot / Lot Kedai

Price from

MYR 300,000

News

View More View More

Belanjawan 2025: Kerajaan dicadang bantu kurangkan kos beli rumah.

10 September 2024
KUALA LUMPUR: Kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI berharap kerajaan akan mengutamakan pembangunan perumahan baharu dan menambah baik persekitaran di kawasan perumahan mampu milik dalam Belanjawan 2025 akan datang. Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Kashif Ansari berkata penambahbaikan dalam kualiti hidup merangkumi pemasangan lampu jalan baharu, membina taman-taman sukan dan mengubah suai rumah-rumah usang. "Kami mencadangkan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos yang menyebabkan perumahan menjadi begitu mahal. Sebagai contoh, pemaju yang menyediakan perumahan yang berkualiti serta mampu milik sewajarnya menerima subsidi untuk bahan binaan. "Kos-kos ini menokok sebanyak tiga hingga empat peratus setahun, ia sangat tinggi, walaupun lebih rendah berbanding semasa kemuncak pandemik," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Pembiayaan turut menjadi cabaran utama kepada projek rumah mampu milik baharu, kata Kashif, sambil mengulas jika pemaju tidak dapat memperoleh pembiayaan pada kadar yang mampan, projek perumahan baharu tidak relevan untuk diteruskan. Beliau mencadangkan kerajaan atau bank menawarkan pembiayaan pembangunan berdiskaun, khusus yang membabitkan projek rumah mampu milik bagi membolehkan lebih ramai keluarga mendapatkan kediaman. Kashif juga mencadangkan agar pihak industri dan kerajaan bekerjasama untuk membentuk konsortium pembelian bagi mengurangkan kos bahan melalui skala ekonomi. "Ini akan melibatkan pengumpulan permintaan merentas beberapa pemaju untuk membeli bahan dalam kuantiti yang agak besar. Ini akan membolehkan mereka merundingkan harga yang lebih baik. "Di pasaran lain, pendekatan ini telah mengurangkan kos bahan sehingga 30 peratus," katanya. Malaysia boleh memanfaatkan sektor pembuatan termajunya untuk membina perumahan, ini termasuk penggunaan teknik pembinaan industri bagi membina rumah-rumah dalam kilang dan kemudian memasangnya di tapak. Kaedah itu boleh mengurangkan masa pembinaan dan kos, menjadikan perumahan lebih murah serta cepat tersedia, katanya, sambil menekankan bahawa rumah mampu milik bukan sahaja perlu menjimatkan kos tetapi juga boleh didiami, dibina dengan baik dan mampan. Memandangkan urbanisasi mendorong lebih ramai orang ke bandar, Kashif menjangkakan permintaan rumah mampu milik akan melonjak. Beliau berkata pada suku pertama tahun ini, urus niaga hartanah meningkat 17.2 peratus, dengan pembeli membelanjakan RM25.25 bilion untuk rumah, menandakan kenaikan 21 peratus berbanding tahun sebelum ini. Bagaimanapun, peningkatan harga tanah dan rumah termasuk kos pembinaan serta pembiayaan, terus menimbulkan cabaran besar dalam menyediakan perumahan mampu milik. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/09/1296194/belanjawan-2025-kerajaan-dicadang-bantu-kurangkan-kos-beli-rumah  

Transaksi hartanah separuh pertama 2024 melonjak kepada RM105.65 bilion

09 September 2024
KAJANG: Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2024 dengan jumlah transaksi meningkat lapan peratus kepada 198,906 dan nilai transaksi meningkat 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion, pertumbuhan tertinggi dalam tempoh lima tahun. Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pengukuhan pasaran hartanah didorong oleh prestasi transaksi yang positif merentas semua subsektor, disokong oleh pelbagai inisiatif yang digariskan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024. Tambahan pula, katanya, beberapa usaha baharu dan projek pemangkin yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI secara serentak merangsang pembangunan pasaran hartanah. Beliau menjelaskan, inisiatif itu termasuk penambahbaikan baru-baru ini kepada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan penubuhan Zon Kewangan Khas di Forest City. "Prestasi kediaman siap dibina tidak terjual turut memperlihatkan momentum yang lebih memberangsangkan. "Unit siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan sebanyak 12.3 peratus berjumlah 22,642 unit dan sebanyak 19.5 peratus dalam nilai berjumlah RM14.24 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya. Hui Ying berucap pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh JPPH dan merasmikan Jubli Perak NAPIC serta Simposium Penyelidikan Harta Tanah Antarabangsa di Kajang, hari ini -NSTP/AIZUDDIN SAAD Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan merasmikan Jubli Perak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) serta Simposium Penyelidikan Harta Tanah Antarabangsa (IRERS) 2024 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), di sini, hari ini. Hui Ying berkata, prestasi aktiviti pasaran mengikut subsektor menunjukkan peningkatan dengan mencatat pertumbuhan yang kukuh tahun ke tahun iaitu subsektor kediaman (6.1 peratus), komersial (22.4 peratus), industri (2.3 peratus), pertanian (6.5 peratus) dan tanah pembangunan (12.1 peratus). Beliau berkata, data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada separuh pertama 2024 berada pada paras 218.7 mata, memperlihatkan harga purata RM471,918 seunit dengan pertumbuhan tahunan pada kadar 0.9 peratus. Katanya, semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif yang sederhana kecuali Kuala Lumpur, yang mencatat penguncupan 0.8 peratus. Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan prestasi penghunian kompleks perniagaan merekodkan peningkatan marginal. Kadar penghunian kompleks perniagaan merekodkan 78.1 peratus berbanding 76.6 peratus pada tempoh sebelumnya, manakala kadar penghunian pejabat binaan khas milik persendirian mencatat 71.6 peratus berbanding 72.4 peratus yang direkodkan pada tempoh sebelumnya. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/09/1296103/transaksi-hartanah-separuh-pertama-2024-melonjak-kepada-rm10565  

Article

View More View More

Inisiatif deposit Madani bantu belia miliki rumah pertama

23 August 2024
KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperkenalkan inisiatif deposit Madani dengan nilai maksimum RM30,000 kepada pembeli rumah pertama adalah langkah positif dan strategik untuk membantu belia memiliki rumah pertama. Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata dari sudut ekonomi, inisiatif itu boleh memberi impak signifikan terhadap kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia. Ini kerana katanya, berdasarkan statistik terkini dari Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia berusia antara 25 hingga 34 tahun masih rendah dengan anggaran sekitar 35 peratus. "Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kos permulaan yang tinggi, termasuk deposit pembelian rumah. "Oleh itu, dengan menyediakan bantuan deposit sehingga RM30,000, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama. "Ini akan meningkatkan kemampuan belia untuk membeli rumah, seterusnya membantu mengurangkan jurang pemilikan rumah yang wujud antara golongan belia dan kumpulan umur lain," katanya kepada BH, hari ini. Semalam, media melaporkan inisiatif deposit Madani sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah pertama antara cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025. KPKT bercadang melaksanakan pemberian deposit itu selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku'. Menterinya, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata inisiatif itu bertujuan meringankan bayaran bulanan pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40 serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal. Mengulas lanjut, Mohd Izzat Afifi berkata, dari segi ekonomi makro, inisiatif itu dijangka dapat merancakkan lagi pasaran hartanah negara dengan meningkatkan permintaan terhadap rumah. Katanya, peningkatan itu boleh memberi kesan positif kepada industri pembinaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Bagaimanapun katanya, keberkesanan inisiatif itu memerlukan pelaksanaan yang teliti dan menyeluruh termasuk pemantauan rapi untuk memastikan golongan sasaran layak, mendapat manfaatnya. Selain itu katanya, terdapat juga keperluan untuk memastikan bahawa inisiatif itu tidak menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak yang boleh membebankan pembeli. "Jika dibandingkan dengan negara lain, beberapa negara telah memperkenalkan inisiatif seumpama ini dengan kejayaan yang berbeza-beza. "Sebagai contoh di Australia terdapat Skim Deposit Rumah Pertama membolehkan pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman perumahan dengan deposit yang lebih rendah sekitar lima peratus tanpa perlu membayar insurans pinjaman perumahan. "Skim ini telah membantu ramai individu memiliki rumah pertama mereka, namun kritikan juga muncul apabila harga rumah terus meningkat, menyebabkan pembeli masih menghadapi kesukaran walaupun dengan bantuan deposit," katanya. Justeru katanya, walaupun inisiatif itu boleh meningkatkan kadar pemilikan rumah, ia juga berpotensi mendorong kenaikan harga rumah dalam jangka panjang. Katanya, apabila permintaan meningkat akibat daripada bantuan kewangan yang disediakan, ia boleh menyebabkan pembangun hartanah menaikkan harga rumah, sekali gus mengurangkan keberkesanan inisiatif ini. Selain itu katanya, walaupun inisiatif itu membantu dari segi deposit, golongan belia masih perlu berdepan dengan bayaran bulanan pinjaman perumahan yang mungkin tinggi. "Jika tidak diimbangi dengan pendapatan yang stabil dan mencukupi, ini boleh membawa kepada tekanan kewangan jangka panjang," katanya. Bagaimanapun katanya, inisiatif deposit Madani berpotensi memberi kesan positif yang signifikan kepada pembeli rumah pertama di Malaysia, terutama jika ia diuruskan dengan baik dan tidak menyebabkan kesan sampingan seperti kenaikan harga rumah yang berlebihan. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1288376/inisiatif-deposit-madani-bantu-belia-miliki-rumah-pertama

Model baharu perumahan awam dibentang dalam masa terdekat

05 July 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan model baharu perumahan awam dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) di Kabinet dalam tempoh terdekat. Menterinya, Nga Kor Ming, berkata setakat ini, 32 plot tanah telah diberikan kepada KPKT daripada hampir semua negeri untuk program berkenaan."Di bawah program ini, KPKT akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan rumah mampu milik di mana tiada lagi kos tanah perlu dibayar sebagaimana sebelum ini. "Jika dulu kerajaan persekutuan perlu membayar 35 peratus daripada kos tanah kepada kerajaan negeri, dengan PRR lebih banyak tanah di negeri dapat dibina dengan kediaman mampu milik. "Sebagai contoh, jika peruntukan RM100 juta, sejumlah RM35 juta digunakan bagi membeli tanah. Sekarang ini, jumlah itu sepenuhnya untuk membina rumah yang lebih berkualiti," katanya kepada media selepas majlis perasmian Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) dan perasmian ARCHIDEX 2024 di sini, hari ini. Perasmian ACMROCB dan ARCHIDEX disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kor Ming berkata model baharu pembangunan rumah mampu milik itu akan lebih inklusif dengan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura dan Korea Selatan akan dijadikan sebagai penanda aras."PRR akan menjadi lebih inklusif berbanding Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya. Mac lalu, Kor Ming berkata, KPKT sedang merangka model baharu perumahan awam yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami, mempunyai daya maju komersial berkualiti, ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain. Kos pembinaan setiap unit PRR katanya, akan dinaikkan kepada RM300,000 sekali gus menawarkan golongan berpendapatan rendah rumah berkualiti dengan bayaran harga berperingkat (piecemeal price). Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT akan melancarkan satu aplikasi yang boleh digunakan oleh setiap lapisan masyarakat menjelang tahun depan."Aplikasi ini akan memberi maklumat seperti lokasi risiko banjir kepada bakal pembeli. Jadi mereka boleh membuat pilihan yang lebih baik. "Aplikasi ini juga boleh digunakan pemaju hartanah untuk menilai kesesuaian jenis projek sama ada teres, kondominium atau apartmen. Justeru, ia akan memudahkan keputusan mereka sebelum membangunkan projek lebih dinamik," katanya. Sementara itu, beliau berkata ARCHIDEX 2024 dijangka menjana transaksi perniagaan melebihi RM1 bilion, sekali gus menjadi edisi penganjuran terbesar dan paling berpengaruh setakat ini. Katanya, pameran edisi ke-23 itu disertai kira-kira 700 pempamer dari 15 negara dan wilayah dengan jangkaan kehadiran lebih 40,000 pelawat dari lebih 100 negara."ARCHIDEX ialah pameran reka bentuk inovatif, teknologi termaju dan penyelesaian transformatif yang akan membentuk masa depan seni bina di rantau ini. "Dengan mengetengahkan inovasi dan amalan mampan, pameran ini bertujuan untuk memberi inspirasi dan memacu industri ke hadapan," katanya.ARCHIDEX yang menjadi festival seni bina Kuala Lumpur yang berlangsung sehingga Sabtu ini menghimpunkan syarikat terkemuka dalam seni bina, pembinaan dan reka bentuk di bawah satu bumbung. Penganjuran ARCHIDEX bersempena penganjuran serentak ACMROCH anjuran KPKT dengan tema, 'Membina Masa Depan Mampan: Memperkukuhkan Kerjasama ASEAN-China dalam Perumahan dan Pembangunan Bandar untuk Kemakmuran Bersama'. Bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, acara itu meraikan legasi hubungan diplomatik yang turut menggariskan hubungan intrinsiknya dengan pertumbuhan dan diplomasi negara dan masa hadapan. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/07/1266615/model-baharu-perumahan-awam-dibentang-dalam-masa-terdekat