Featured Properties
Newly Added Properties
View MoreTanjong Malim ( 8 Unit Semi D 2 Tingkat kluster )
Tanjong Malim
Price from
MYR 500,340
News
View MorePemaju berdepan kenaikan kos, harga rumah dijangka meningkat
24 January 2025
KUALA LUMPUR: Harga rumah kediaman di negara ini dijangka meningkat sekitar purata satu angka tahun ini berikutan pemaju cuba untuk mengimbangi peningkatan kos binaan yang ketara, demikian menurut pakar industri.
Namun, harga rumah kediaman yang terletak di lokasi strategik berpotensi meningkat secara purata sekitar dua angka dengan minimum 15 peratus.
Ketua Pegawai Operasi Henry Butcher Real Estate Sdn Bhd, Tang Chee Meng, berkata beberapa tahun kebelakangan ini, pemaju hartanah telah cuba menyerap kenaikan kos pembinaan berikutan pasaran yang masih dalam fasa pemulihan selepas terkesan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, kos seperti keluli, batu bata dan semua kos bahan binaan telah meningkat agak ketara.
"Berikutan pasaran tidak begitu kukuh, maka pemaju tidak berada dalam kedudukan untuk melepaskan kos kepada pengguna.
"Namun, kini dilihat, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) juga menyebut bahawa keadaan mulai bertambah baik dan sudah tiba masanya untuk ahlinya meneliti kenaikan harga bagi menangani kos tambahan," katanya pada sidang media mengenai tinjauan hartanah Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Mengenai tinjauan pasaran hartanah bagi 2025, Chee Meng berkata, pihaknya optimistik bahawa pasaran hartanah kediaman di Malaysia dijangka stabil dan terus menikmati pertumbuhan positif selepas mencatatkan peningkatan hampir lima peratus dalam jumlah transaksi bagi sembilan bulan tahun lalu.
Beliau berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.00 peratus sejak menaikkannya pada Mei 2023 juga memberi kesan yang baik kepada sektor hartanah berikutan kestabilan kadar faedah.
"Secara keseluruhan, kami percaya tumpuan pasaran hartanah kediaman pada 2025 akan berterusan dalam hartanah kediaman bertanah terutamanya rumah teres setingkat dan dua tingkat, apartmen dalam harga yang mampu milik di bandar utama dan unit bersaiz kecil serta projek mewah khusus di lokasi yang baik," katanya.
Chee Meng berkata, prestasi positif pasaran hartanah kediaman yang berterusan juga telah menggalakkan pemaju untuk membeli tanah dan melancarkan projek baharu.
Beliau berkata, faktor positif seperti situasi politik tempatan yang stabil, pertumbuhan berterusan ekonomi, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan peningkatan kemasukan pelancong dipacu Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka membantu negara dalam menampan kesan ketidaktentuan global.
"Disokong oleh jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh oleh kerajaan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025 dan tanpa sebarang peristiwa global yang boleh menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia, kami yakin pasaran hartanah Malaysia yang utuh akan terus menikmati pertumbuhan positif pada 2025," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/01/1352397/pemaju-berdepan-kenaikan-kos-harga-rumah-dijangka-meningkat
Pasaran hartanah rancak, rumah siap tak terjual berkurangan
21 January 2025
KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah tempatan mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang jelas kerancakan pelancaran projek baharu serta pengurangan stok hartanah tidak terjual atau 'overhang'.
Pengerusi Institut Rehda, Datuk Jeffrey Ng, berkata dari tahun 2010 hingga 2014, pengenalan Skim Pemaju Tanggung Faedah (DIBS) memberikan dorongan besar kepada pasaran, menyebabkan pelancaran projek yang kukuh.
Namun, katanya apabila DIBS dimansuhkan pada tahun 2014, pertumbuhan pasaran mula perlahan yang membawa kepada hampir sedekad kemelesetan.
"Antara tahun 2014 dan 2023, pasaran menyaksikan pelancaran projek yang lebih perlahan, lebihan stok yang bertambah, dan jumlah unit yang lebih sedikit dilancarkan.
"Pada 2023, pasaran mula pulih semula, dan kini jelas bahawa kita sedang memasuki fasa kitaran menaik dengan prospek positif untuk masa depan," katanya pada ucapan alu-aluan persidangan tahunan pemaju hartanah, Siri CEO: 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata kos bahan yang semakin meningkat dan kekurangan tenaga kerja terus memberi tekanan kepada sektor hartanah.
Katanya, data menunjukkan bahawa kos bahan binaan telah meningkat secara purata sebanyak lapan peratus setiap tahun dalam tempoh tiga tahun lalu, sekali gus memerlukan penyelesaian perolehan yang inovatif.
"Industri hartanah juga perlu secara proaktif mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan memberi penekanan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk bangunan lestari, dan perancangan bandar yang inklusif.
"Komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 memerlukan kerjasama yang signifikan antara sektor awam dan swasta.
"Selain itu, cabaran urbanisasi, termasuk kesesakan lalu lintas dan infrastruktur yang tidak mencukupi, semakin mendesak. Kadar urbanisasi Malaysia dijangka mencapai 80 peratus menjelang 2030, memerlukan pembangunan penyelesaian bandar pintar dan mampan yang dipercepatkan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dalam ucapannya berkata, platform seperti Siri CEO ini amat penting untuk memupuk dialog produktif antara kerajaan dan pemain industri.
Katanya, perbincangan ini amat penting untuk memperhalusi dasar dan membentuk masa depan.
"Sejak penubuhannya pada tahun 2016, siri ini telah menjadi asas kukuh untuk pelbagai industri, termasuk pembinaan, perbankan, hospitaliti, pembuatan, dan pembangunan hartanah, yang mendapat liputan meluas dari media dan menghasilkan impak yang bermakna.
"Dalam Belanjawan 2025 tahun ini, yang adalah belanjawan ketiga di bawah rangka kerja MADANI, telah diterima baik, dengan inisiatif utama yang direka untuk menarik pelaburan dan merangsang pertumbuhan," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/01/1350187/pasaran-hartanah-rancak-rumah-siap-tak-terjual-berkurangan
Article
View MoreKempen pemilikan rumah akan diperkenal semula tahun depan
18 December 2024
SELAYANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 3.0 pada tahun depan.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perumahan Negara, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan pihak berkepentingan lain berkenaan pelaksanaan HOC 3.0 itu.
"Kita akan mencari tarikh yang mempunyai 'feng shui' yang sangat baik. (Apa pun) saya perlu fikir dulu.Kita akan mengadakan Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN pada Julai depan. Saya yakin, kempen HOC akan dibuat sama ada bersempena sidang kemuncak inj ataupun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan pusat beli belah 168 Park Mall dan meninjau kemajuan projek 168 Park Selayang sempena Program Sentuhan Kejayaan KPKT di sini, hari ini.
Projek itu pada asalnya dibangunkan oleh Sierra Delima Development Sdn Bhd yang membabitkan pembangunan empat blok kediaman namun telah tertangguh akibat masalah kewangan syarikat.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, beliau difahamkan bahawa sebanyak 678 unit pembeli terjejas dan terkesan apabila projek ini yang dulu dikenali sebagai Selayang Star City berstatus sakit dan tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan iaitu Mac 2019.
Katanya, pada 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memberikan kebenaran dan melantik syarikat induk 168 Park Selayang Sdn Bhd, iaitu Infra Segi Sdn Bhd, sebagai pengurus memulihkan projek ini.
"Keputusan Mahkamah Tinggi ini telah berjaya menyelamatkan projek ini. Kini, projek Selayang Star City telah berjaya dibangunkan semula sebagai pembangunan moden yang dikenali sebagai 168 Park.
"Setiap unit yang dulunya terjejas telah siap di bawah pemajuan Blok C dan diserahkan bermula 30 Ogos 2024. Usaha ini membuktikan komitmen tegar pihak pemaju untuk menghidupkan semula kawasan ini," katanya.
Kor Ming berkata, Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai berjaya memulihkan 862 projek atau 102,808 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM85.82 bilion dalam tempoh dua tahun.
Katanya, salah satu langkah penting yang akan diambil oleh KPKT adalah untuk melaksanakan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi menguatkuasakan langkah yang lebih tegas terhadap pemaju yang terbabit dalam projek sakit dan terbengkalai.
"Rang Undang-Undang (Pindaan) dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan. KPKT terlibat secara aktif dengan pihak berkepentingan untuk memastikan pindaan ini memberikan hasil yang adil kepada semua pihak, termasuk pembeli hartanah.
"Kami akan memastikan semua suara didengari, termasuk REHDA dan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, selain menjalankan kajian yang diperlukan untuk memastikan cadangan pindaan pada 2025 adalah berkesan.
"Melalui pindaan ini, kita mampu menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat untuk menegakkan tadbir urus yang baik. Sebagai contoh, pemaju yang didapati bersalah melakukan penipuan akan berhadapan dengan hukuman yang serius, termasuk dihalang dari meninggalkan negara.
"Mereka juga mungkin menghadapi prosiding mahkamah dan hukuman seperti penjara sehingga tiga tahun, denda berjumlah RM250,000 hingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/12/1335553/kempen-pemilikan-rumah-akan-diperkenal-semula-tahun-depan
Kerajaan tolak cadangan had beli rumah bagi tujuan pelaburan
28 October 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menolak cadangan untuk mengenakan had pembelian rumah bagi tujuan pelaburan.
Beliau berkata, bukan peranan kerajaan untuk mengehadkan pelaburan dalam sektor hartanah yang terbukti sebagai lindung nilai yang berkesan terhadap inflasi dan cara melindungi kekayaan.
"Sekatan seperti itu dikhuatiri akan menyebabkan kejatuhan pasaran hartanah dan memberi kesan buruk kepada kira-kira 200 industri yang berkaitan dengan hartanah, termasuk kontraktor, perkhidmatan paip, perbankan dan perkhidmatan guaman.
"Jika sektor hartanah runtuh, kesannya kepada negara kita boleh menjadi parah," katanya ketika sesi libat urus Menteri KPKT bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan dua bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, dalam podcast 'Keluar Sekejap' (KS) baru-baru ini yang mencadangkan bahawa mengehadkan pembelian hartanah boleh membantu mengatasi krisis perumahan mampu milik dengan menangani lambakan rumah mewah tidak terjual dan meningkatkan harga rumah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perlu difahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokratik dan perkara yang lebih penting adalah untuk memastikan terdapat penyediaan rumah yang mencukupi.
"Kita bukan negara komunis yang menghalang rakyat daripada membeli hartanah dan keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk memastikan tiada gelembung dalam pasaran hartanah serta keadaan semasa kekal stabil.
"KPKT menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM100 bilion pada 2024 dan ia berjaya dicapai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Jumlah nilai transaksi untuk separuh pertama 2024 telah melebihi RM100 bilion," katanya.
Tambahnya, KPKT sedang merancang untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memperketat syarat-syarat untuk pemaju.
"Salah satu cadangan pindaan ialah menghalang pemaju yang terbabit dalam penipuan daripada meninggalkan negara.
"Mereka (pemaju) akan disenarai hitam dan bukan sahaja pemaju itu sendiri, malah keluarga mereka," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/10/1315562/kerajaan-tolak-cadangan-had-beli-rumah-bagi-tujuan-pelaburan