shopify analytics ecommerce
tracking

Featured Properties

Newly Added Properties

View MoreView More

Taiping ( 6 Unit Kedai Pejabat 2 Tingkat )

Taiping

Commercial Type: Shop Office

Built Up: 2,800 sq.ft.

Price from

MYR 788,000

Taiping ( 8 Unit Kedai Pejabat 3 Tingkat )

Taiping

Commercial Type: Shop Office

Built Up: 4,200 sq.ft.

Price from

MYR 988,000

News

View More View More

77 % kuota Bumiputera tak laku!

14 April 2025
Kuala Lumpur: Isu lambakan unit kediaman tidak terjual terus membelenggu pasaran hartanah negara khususnya dalam kategori Bumiputera. Ini membuatkan pasaran hartanah negara terus berdepan cabaran apabila unit kediaman tidak terjual terutama kategori Bumiputera masih tinggi. Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2024 (2H 2024) Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mendapati 77 peratus daripada unit Bumiputera yang siap dibina, tetapi tidak terjual berada dalam julat harga RM300,001 hingga RM500,000. Lebih membimbangkan, 72 peratus unit terbabit sudah berusia lebih 36 bulan, sekali gus menunjukkan isu penawaran dan permintaan belum diselesaikan sepenuhnya. Dengan 77 peratus daripada unit Bumiputera yang siap dibina tetapi tidak terjual, masalah ini kini menjadi cabaran besar kepada pemaju dan pembeli. Bahkan, jumlah unit kediaman tidak terjual bukan sahaja menjejaskan pemaju, tetapi juga menghambat pertumbuhan sektor hartanah negara. Tanpa penyelesaian menyeluruh, isu ini boleh menyebabkan tekanan ke atas pemaju dan pasaran serta menjejaskan pemilikan rumah bagi golongan Bumiputera. Presiden Rehda Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, seramai 66 daripada 177 responden Rehda atau 37 peratus yang mengambil bahagian dalam tinjauan berkenaan melancarkan projek mereka pada separuh kedua 2024 dengan 58 responden (34 peratus) lagi pada separuh pertama 2024. Menurutnya, prestasi jualan pada separuh kedua 2024 menyaksikan sebanyak 3,802 unit terjual dengan kadar pengambilan 28 peratus menurun daripada 47 peratus pada separuh pertama 2024. "Daripada jumlah itu, sebanyak 43 peratus adalah unit siap tidak terjual membabitkan rumah bernilai RM400,001 hingga RM500,000 diikuti 11 peratus unit berharga RM500,001 hingga RM600,000 manakala sembilan peratus (RM1 juta ke atas). "Bagi rumah bernilai RM900,000 hingga RM1 juta serta RM700,001 hingga RM800,000 - masing-masing merekodkan tujuh peratus selain bawah RM100,001 mencatatkan enam peratus. "Pada masa sama, hartanah RM200,001 hingga RM300,000, RM100,001 hingga RM200,000 serta RM600,001 hingga RM700,000 masing-masing merekodkan empat peratus diikuti tiga peratus untuk rumah M300,001 hingga RM400,000 selain dua peratus bagi rumah RM800,001 hingga RM900,000," katanya. Bagi unit Bumiputera pula, sebanyak 77 peratus unit siap tidak terjual itu berharga antara RM300,001 hingga RM500,000 dengan 72 peratus tidak terjual itu berusia lebih 36 bulan. "Sebanyak lapan peratus daripada unit Bumiputera siap dibina, tetapi belum terjual membabitkan hartanah bernilai RM1 juta diikuti tujuh peratus (RM700,001 hingga RM1 juta). "Lima peratus membabitkan nilai rumah di bawah RM300,001 serta tiga peratus lagi hartanah antara RM500,001 hingga RM700,000," katanya. Sementara itu, Laporan Pasaran Harta 2024 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mendedahkan unit rumah dibina tidak terjual di Malaysia berjumlah 23,149 unit dengan anggaran nilai RM13.95 bilion. Rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 direkodkan sebagai komponen hartanah paling banyak tidak terjual di negara ini pada tahun lalu. Pada masa sama, agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) turut mendedahkan, kediaman jenis bertingkat menjadi komponen paling banyak tidak terjual iaitu sebanyak 61.2 peratus atau 13,455 unit diikuti rumah teres sebanyak 5,187 unit (23.6 peratus) dan lain-lain 3,326 unit (15.1 peratus). Kediaman berusia lima hingga 10 tahun turut menjadi hartanah tidak terjual paling banyak berjumlah 10,774 unit, diikuti kediaman di bawah usia tiga tahun dengan 5,498 unit; kediaman berusia tiga hingga lima tahun (4,726 unit) dan kediaman melebihi 10 tahun (970 unit). Untuk kategori hartanah sedang dibangunkan tidak terjual, rumah berharga di bawah RM300,000 paling banyak tidak terjual iaitu masing-masing 11,562 unit dengan 10,864 unit untuk jenis teres dan bertingkat. Bagi kediaman belum dimajukan, unit berharga di bawah RM300,000 kekal menjadi komponen paling banyak tidak terjual dengan 2,181 unit (teres) dan 1,704 unit (bertingkat). https://www.hmetro.com.my/utama/2025/04/1206466/77-kuota-bumiputera-tak-laku  

KPKT pertimbang wujud akta baharu tangani kelemahan pengurusan harta, bangunan

09 April 2025
PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani kelemahan pengurusan harta dan bangunan. Menterinya, Nga Kor Ming, berkata ini kerana masalah pengurusan harta menyebabkan penurunan dalam nilai aset terutamanya ke atas bangunan berstrata. Beliau berkata, ketika ini terdapat hanya 594 firma berlesen menguruskan 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit dalam harta strata di Malaysia. "Dalam erti kata lain, setiap firma secara purata bertanggungjawab untuk menguruskan hampir 4,900 unit dalam harta strata. "Kekurangan firma berlesen ini mendorong kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC) serta penambahan pengurus harta yang tidak berlesen di seluruh negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Strata Kebangsaan di sini, hari ini. Kor Ming berkata, keadaan itu menyebabkan ramai pemilik harta dan penyewa terutama dalam skim strata berdepan kesukaran berikutan kemerosotan nilai aset akibat pengurusan bangunan yang lemah dan tidak mencukupi oleh pengurus harta yang tidak bertauliah dan tidak terlatih. Justeru katanya, bagi menangani isu itu, KPKT bekerjasama dengan beberapa persatuan serta pihak berkepentingan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengkaji satu akta baharu yang komprehensif dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengawalseliaan pengurusan harta dan bangunan di bawah KPKT. Katanya, ketika ini pengurus harta dikawal selia bersama penilai, pentaksir dan ejen harta tanah di bawah Akta 242. "Oleh itu, dengan mewujudkan akta baharu yang khusus bagi pengurus harta, kami berhasrat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan harta di Malaysia. "Selain itu, ia juga diharap dapat memastikan yuran penyelenggaraan yang dibayar oleh pemilik atau penyewa harta digunakan secara betul, seperti untuk penyelenggaraan lif dan taman, pengubahsuaian kemudahan, pengumpulan sisa buangan atau pembaikan sistem kumbahan," katanya. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1381766/kpkt-pertimbang-wujud-akta-baharu-tangani-kelemahan-pengurusan-harta  

Article

View More View More

RUU URA: REHDA setuju cadangan longgar syarat pembangunan semula hartanah strata

27 March 2025
PETALING JAYA: Cadangan melonggarkan syarat persetujuan serendah 75 peratus bagi pembangunan semula hartanah strata menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) adalah sesuatu yang positif kepada pembangunan negara, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA). Presidennya, Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata undang-undang sebelum ini menetapkan keperluan persetujuan 100 peratus pemilik, namun syor baharu itu mencadangkan pengurangan kepada 75 atau 80 peratus untuk memudahkan proses pembangunan semula. Beliau berkata, langkah itu amat diperlukan kerana banyak bangunan strata, khususnya di bandar utama seperti Lembah Klang sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami. Malah, katanya, keadaan berkenaan bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup penghuni, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan akibat masalah infrastruktur yang semakin meruncing. "Banyak bangunan lama mengalami pelbagai isu serius, antaranya sistem pembetungan rosak, pendawaian elektrik uzur yang boleh menimbulkan risiko kebakaran, lif yang sering rosak dan kebanyakan bangunan lama tidak mempunyai dana mencukupi untuk penyelenggaraan besar-besaran. "Dalam konteks ini, pembangunan semula dianggap sebagai penyelesaian terbaik untuk memastikan penghuni mendapat persekitaran yang lebih selamat dan moden," katanya pada sidang media pengumuman Tinjauan Sentimen Industri Hartanah REHDA (PSS) separuh kedua 2024 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Zaini Yusoff dan Mantan Presiden REHDA, Datuk N K Tong. Hon Sang berkata, peranan pemaju dalam pembangunan semula lebih bersifat reaktif dan keputusan untuk membangunkan semula sesebuah bangunan perlu dimulakan oleh pemilik strata, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). "Salah satu kebimbangan utama pemilik rumah ialah kemampuan untuk membeli semula unit baharu selepas pembangunan semula dilakukan dan kami percaya bahawa kerajaan akan menyediakan rangka kerja undang-undang yang sesuai bagi menangani isu ini," katanya. Beliau berkata, dari segi gentrifikasi, pemilik rumah sebenarnya mempunyai peluang untuk mendapatkan pampasan berdasarkan nilai masa depan hartanah mereka. "Namun, jika mereka tidak mahu berpindah, mereka boleh memilih untuk tidak menyokong pembangunan semula dan dengan cadangan kadar persetujuan 80 peratus, keputusan terbabit masih bergantung kepada majoriti pemilik strata," katanya. Dari perspektif teknikal pula, Hon Sang berkata, membina semula bangunan lama lebih praktikal berbanding melakukan pembaikan besar kerana struktur bangunan yang berusia lebih 50 tahun sering mengalami masalah seperti konkrit mereput dan besi terdedah, menjejaskan keselamatan penghuni untuk tempoh jangka panjang. "REHDA melihat RUU URA sebagai langkah penting dalam memastikan kesejahteraan penghuni bangunan strata yang uzur, biarpun terdapat cabaran dari segi persetujuan pemilik dan kebimbangan mengenai harga unit baharu. "Langkah ini adalah keperluan yang tidak boleh dielakkan demi keselamatan dan pembangunan bandar yang lebih mampan," katanya. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/03/1374846/ruu-ura-rehda-setuju-cadangan-longgar-syarat-pembangunan-semula  

Rumah lot Bumiputera harga RM300,001-RM500,000 paling banyak tak terjual.

25 March 2025
PETALING JAYA: Unit kediaman lot Bumiputera berharga RM300,001 hingga RM500,000 paling banyak tidak terjual sepanjang separuh kedua tahun lalu, demikian menurut Tinjauan Sentimen Industri Hartanah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA). Presiden REHDA Malaysia, Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata secara keseluruhannya sejumlah 72 peratus lot Bumiputera siap dibina tidak terjual dan sudah melebihi 36 bulan berada dalam pasaran. "Ia satu trend yang kurang memberangsangkan. Julat harga RM300,001 hingga RM500,000 paling banyak (tidak terjual) dengan 77 peratus, diikuti kediaman bawah RM300,001 (lima peratus); RM500,001 hingga RM700,000 (tiga peratus); RM700,001 hingga RM1 juta (tujuh peratus); dan kediaman lebih RM1 juta (lapan peratus)," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman hasil Tinjauan Sentimen Industri Hartanah REHDA (PSS) separuh kedua 2024 di sini, hari ini.▶︎   0:30  Yang turut hadir, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Zaini Yusoff dan Mantan Presiden REHDA, Datuk N K Tong. Mengulas lanjut mengenai keseluruhan kediaman tidak terjual, Hon Sang berkata, rumah berharga RM400,001 hingga RM500,000 menjadi komponen paling banyak tidak terjual pada separuh kedua tahun lalu. Beliau berkata, komponen berkenaan mewakili 43 peratus daripada keseluruhan unit tidak terjual bagi tempoh tinjauan. Malah, katanya, pasaran hartanah tempatan berdepan cabaran apabila sebanyak 41 peratus pemaju masih memiliki unit kediaman siap dibina tetapi tidak terjual sehingga 31 Disember 2024. "Faktor utama yang menyebabkan lambakan unit tidak terjual adalah kadar penolakan pinjaman pembiayaan akhir yang tinggi serta permintaan pasaran yang masih perlahan. "Berdasarkan tinjauan, masalah utama dalam mendapatkan pembiayaan adalah ketidaklayakan pendapatan pembeli, dokumen kewangan yang tidak mencukupi serta rekod kredit yang lemah. "Ini memberi kesan kepada kadar penjualan hartanah, terutamanya dalam segmen harga pertengahan," katanya. Menurut data REHDA, 50 peratus hartanah tidak terjual sudah berada dalam pasaran untuk tempoh 13 hingga 24 bulan, manakala 18 peratus lagi sudah melebihi 36 bulan, 28 peratus (0 hingga 12 bulan) dan empat peratus (25 hingga 36 bulan). Dalam tinjauan sama, beliau berkata, majoriti pemaju melaporkan peningkatan kos operasi antara tiga hingga enam peratus sepanjang separuh kedua tahun lalu. Katanya, cabaran dalam sektor pembinaan seperti harga bahan binaan yang tinggi, kekurangan bekalan dan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan turut memberi tekanan kepada industri. "Di samping itu, isu tenaga kerja seperti gaji yang tinggi, kekurangan pekerja serta proses kelulusan yang panjang menambah beban kepada pemaju. "Kami berharap kerajaan dapat menangani isu ini dengan segera kerana sebarang kelewatan hanya akan meningkatkan kos dan memberi kesan negatif kepada keseluruhan industri dan ekonomi negara," katanya. Mengenai prospek pasaran hartanah tahun ini, Hon Sang berkata, berdasarkan tinjauan REHDA, sentimen pemaju lebih neutral pada separuh pertama, sebelum berubah optimis bagi tempoh enam bulan berikutnya. "Industri masih berdepan cabaran daripada pelbagai faktor seperti kenaikan tarif utiliti, semakan subsidi petrol, cukai yang tidak dijangka serta kos tambahan akibat syarat baharu yang dikenakan oleh pelbagai agensi. "Bagaimanapun, REHDA tetap optimis kerajaan akan terus memberi perhatian kepada industri hartanah dalam memastikan pemaju dapat terus menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat secara mampan serta dalam tempoh yang ditetapkan," katanya. https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/03/1374764/rumah-lot-bumiputera-harga-rm300001-rm500000-paling-banyak-tak