Featured Properties
Newly Added Properties

News

Transaksi hartanah komersial Malaysia meningkat
10 March 2025
Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan peningkatan transaksi hartanah komersial, didorong oleh individu bernilai bersih tinggi (HNWI) dan pelabur institusi yang mahu mencari nilai jangka masa panjang, sekali gus mencerminkan trend global, menurut Knight Frank Malaysia.
Menerusi kenyataan pada Rabu sempena "Wealth Report 2024" penerbitan utamanya, firma itu menjelaskan peningkatan semula tersebut adalah sejajar dengan pertambahan jumlah individu HNWI Malaysia, menunjukkan pengumpulan kekayaan dan minat pelaburan yang semakin meningkat.
Pelaburan transaksi hartanah komersial gobal meningkat kukuh pada 2024 kepada US$806 bilion, menandakan kenaikan lapan peratus tahun ke tahun selepas penguncupan ketara 43 peratus pada 2023, menunjukkan keyakinan baharu dalam kalangan pelabur, menurutnya.Firma itu memaklumkan aliran modal rentas sempadan turut memperoleh momentum meningkat sebanyak 12 peratus kepada US$171 bilion sekali gus membuktikan minat global terhadap pelaburan hartanah.
Modal swasta terus menguasai pasaran transaksi hartanah komersial pada 2024, dengan pelabur institusi menggunakan US$268 bilion, mewakili 33 peratus daripada jumlah pelaburan.Pelabur pasaran awam pula mencatatkan peningkatan tertinggi tahun ke tahun dengan kenaikan 22 peratus dari segi jumlah pelaburan.
"Di Malaysia, pelabur swasta sangat aktif dalam sektor pejabat dan perindustrian apabila memanfaatkan permintaan kukuh terhadap aset berkualiti tinggi."Sektor perindustrian menerajui pelaburan global, memperoleh US$216 bilion, manakala sektor kediaman mengikuti rapat dengan US$205 bilion. Pelaburan pejabat mencecah US$173 bilion, menandakan pemulihan keyakinan terhadap aset tempat kerja," menurut Knight Frank Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Keith Ooi berkata pasaran hartanah komersial Malaysia terus berkembang, dengan pelabur menunjukkan minat mendalam terhadap aset pejabat utama dan logistik.Beliau berkata memandangkan keadaan ekonomi yang stabil dan kos pembiayaan semakin berkurangan, gelombang pemerolehan strategik dijangka wujud khususnya di pusat bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
"Pelabur semakin mencari nilai jangka masa panjang, dan kebangkitan semula modal swasta berperanan peranan penting dalam pemulihan ini," katanya.Mengenai HNWI, Knight Frank Malaysia menjelaskan bilangan HNWI di seluruh dunia meningkat 4.4 peratus untuk mencecah 2.34 juta individu.
Amerika Utara mendahului peningkatan itu dengan meningkat 5.2 peratus, diikuti oleh Asia pada 5.0 peratus, Afrika sebanyak 4.7 peratus dan Australasia pada 3.9 peratus.Timur Tengah (2.7 peratus), Amerika Latin (1.5 peratus), dan Eropah (1.4 peratus) turut merekodkan kenaikan.
"Malaysia menjadi penerima manfaat utama daripada pertumbuhan kekayaan ini, dengan peningkatan bilangan individu ultra-kaya yang mempelbagaikan portfolio mereka dengan melibatkan hartanah."Negara ini kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan hartanah bernilai tinggi, khususnya dalam segmen kediaman mewah dan komersial utama," tambah Knight Frank Malaysia.
Firma itu juga memaklumkan minat pelabur antarabangsa kekal kukuh terutama terhadap sektor pejabat utama dan hospitaliti di Kuala Lumpur, dengan kumpulan modal yang besar sedia untuk digunakan, meletakkan 2025 sebagai tempoh penting untuk pasaran hartanah negara.
Firma itu juga menjelaskan dengan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam landskap pelaburan Asia Tenggara, pelabur domestik dan antarabangsa dijangka memanfaatkan peluang yang muncul, mengukuhkan lagi pasaran hartanah negara sebagai destinasi pelaburan pilihan.
https://www.hmetro.com.my/bisnes/2025/03/1193586/transaksi-hartanah-komersial-malaysia-meningkat
Di Malaysia Gaji RM10,000 Sebulan Belum Tentu Boleh Beli Rumah
05 March 2025
Seorang lelaki berusia 32 tahun baru-baru ini berkongsi kisahnya di media sosial tentang betapa sukarnya memiliki rumah walaupun bergaji RM10,000 sebulan.
Kisahnya yang pertama kali dikongsi di Reddit sebelum dipadam dan diulang semula di Threads, telah mencetuskan perbincangan hangat tentang kos sara hidup, keutamaan kewangan, dan realiti pemilikan rumah di Malaysia.
Gaji RM10,000, Tapi Adakah Ia Cukup?
Lelaki ini mendedahkan bahawa walaupun dia berpendapatan sekitar RM10,100 sebulan, perbelanjaannya sahaja sudah mengambil sebahagian besar daripada gajinya.
Berikut adalah pecahan perbelanjaan bulanannya:
Bayaran kereta (untuk dirinya dan keluarga): RM2,000
Bayaran balik pinjaman belajar: RM200
Sewa rumah & utiliti: RM1,800
Makanan & hiburan: RM1,500 (kebanyakannya melalui Grab)
Pelan telefon, internet rumah & insurans: RM670
Jumlah perbelanjaan bulanannya ialah kira-kira RM6,170, meninggalkannya dengan baki RM4,000 sebagai pendapatan boleh guna.
Namun, dengan rancangan untuk membeli kediaman impian bernilai RM650,000–RM700,000 untuk ibu bapanya, dia menjangkakan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM2,800.
Tanggungjawab Kewangan & Rancangan Masa Depan
Walaupun dia berjaya menyimpan dan menikmati pendapatannya selama satu hingga dua tahun yang lalu, dia kini berasa tertekan dengan beban untuk memiliki rumah.
Walaupun ada yang mencadangkan dia tinggal bersama ibu bapanya untuk menjimatkan kos, dia dengan tegas menyatakan bahawa itu bukan pilihan—walaupun hubungan mereka tetap baik
Selain menanggung perbelanjaan sendiri, dia juga memberikan sokongan kewangan kepada ibu bapa dan adik-beradiknya, termasuk membayar kereta dan pelan telefon mereka.
Dengan potensi perbelanjaan bulanan sebanyak RM8,900, dia hanya akan mempunyai baki RM1,200 sebagai simpanan.
Disebabkan oleh kekangan ini, dia kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil kerja sampingan bagi menjana pendapatan tambahan dan mengurangkan beban pemilikan
Ramai netizen memberikan cadangan, termasuk mengurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti makanan Grab dan mencari kediaman yang lebih mampu milik.
Ada juga yang mencadangkan untuk mempertimbangkan lokasi rumah yang lebih strategik atau memilih rumah teres berbanding banglo mewah.
https://thevocket.com/rm10000-sebulan-belum-tentu-mampu-beli-rumah/
Article

HBA cadang had beli hartanah menerusi kuota, diskaun Bumiputera
27 February 2025
KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mencadangkan agar pembelian hartanah menerusi kuota dan diskaun Bumiputera dihadkan, berbanding situasi semasa yang tidak menetapkan sebarang had terhadap jumlah unit yang boleh dibeli serta julat harga hartanah.
Setiausaha Agung Kehormat HBA, Datuk Chang Kim Loong, berkata diskaun Bumiputera perlu dihadkan kepada dua hartanah pertama yang dibeli dan perlu di bawah harga RM1 juta.
Beliau berkata, hal ini kerana tujuan asal pemberian diskaun Bumiputera adalah untuk membantu Bumiputera yang kurang berkemampuan memiliki rumah serta mengelakkan polarisasi kejiranan.
Namun katanya, apa yang berlaku kini adalah golongan kaya juga dapat menikmati keistimewaan sama.
"Justeru, kami mencadangkan agar hartanah mewah seperti penthouse, rumah berkembar mewah dan banglo dikecualikan daripada keistimewaan diskaun Bumiputera.
"Malah, peningkatan jumlah unit Bumiputera yang tidak terjual turut menyumbang kepada lebihan penawaran dalam pasaran.
"Daripada mencari lebih banyak tapak pembangunan baharu, unit yang tidak terjual ini sepatutnya dibuka jualan kepada bukan Bumiputera lebih awal," katanya kepada BH.
BH sebelum ini melaporkan terdapat cadangan daripada pemerhati hartanah agar kuota dan diskaun bagi Bumiputera dalam sektor hartanah wajar disemak semula supaya lebih bersasar dan menepati keperluan semasa, sekali gus memastikan keseimbangan antara keadilan sosial dan dinamik pasaran.
Penilaian semula itu dilihat penting bagi mengelakkan lebihan hartanah tidak terjual, menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli yang benar-benar memerlukan serta memastikan dasar itu terus relevan dalam ekosistem ekonomi dan perumahan negara yang semakin berkembang.
Kim Loong berkata, cadangan agar kuota dan diskaun Bumiputera bagi hartanah disemak semula adalah isu yang sudah lama dibincangkan dalam industri.
Beliau berkata, pihaknya sudah memberikan pelbagai pandangan mengenai kuota dan diskaun Bumiputera itu.
Katanya, pandangan itu bukanlah ingin menghalang pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera, tetapi bagi mencari penyelesaian yang lebih baik.
Pihak berkuasa, katanya, perlu mengambil langkah berani dan meneroka reformasi sedemikian jika benar-benar ikhlas dalam menyediakan perumahan mampu milik untuk semua.
Katanya, Malaysia berkembang pesat sejak 1970 dan tahap pendapatan majoriti Bumiputera meningkat dengan ketara.
"Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai Bumiputera yang memerlukan bantuan, diskaun ini mungkin tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Dakwaan timbul bahawa diskaun ini disalahgunakan oleh golongan Bumiputera yang kaya, yang akhirnya meningkatkan kos pemilikan hartanah untuk semua pihak.
"Memandangkan diskaun ini terpakai untuk semua kategori hartanah dan tiada had terhadap jumlah hartanah yang boleh diperoleh, dasar yang baik ini dieksploitasi dalam pelbagai cara," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1364343/hba-cadang-had-beli-hartanah-menerusi-kuota-diskaun-bumiputera
'Kaji kelemahan pelaksanaan kuota hartanah Bumiputera'
26 February 2025
KUALA LUMPUR: Kuota pembelian hartanah Bumiputera wajar disemak semula kerana terdapat kelemahan dikesan dalam pelaksanaannya.
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata pelaksanaan kuota itu dilihat tidak berjaya meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.
Beliau berkata, objektif sebenar pelaksanaan kuota lot Bumiputera semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970-an masih belum dicapai sehingga sekarang.
Katanya usaha untuk meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera memerlukan kaedah baharu yang menyeluruh, bukan hanya menumpukan kepada harga hartanah semata-mata.
"Semakan semula perlu, namun ia harus dilihat dari sudut pandang yang lebih besar. Jika larang pemilikan hartanah mewah dan hanya beri kepada hartanah berharga rendah dan sederhana, ia akan kembali ke zaman sebelum pelaksanaan kuota ini.
"Ia dasar Bumiputera dan perlu diperhalusi supaya tidak terjadinya yang 'dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
"Boleh dilaksanakan supaya aset-aset Bumiputera ini disewa secara jangka masa panjang oleh syarikat besar asing atau bukan Bumiputera agar pemilikan ia tetap ada," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Ahmad Yazid berkata, hartanah Bumiputera bernilai tinggi juga semakin berkurangan begitu juga dengan pemilikan tanah dan penilaian aset di bandar.
Katanya, kaedah untuk memastikan pemilikan tanah Bumiputera perlu dikaji semula namun harus memastikan semua golongan termasuk 'maha kaya' turut mendapat manfaat.
Sementara itu, Setiausaha Agung Institut Profesional Hartanah Bumiputera Malaysia (BUMIPRO), Afizan Mohktar berpendapat semakan yang mahu dilaksanakan perlu dilihat daripada jenis hartanah dan tahap pendapatan pembeli.
Beliau berkata, kuota Bumiputera harus ada walaupun bagi hartanah berharga RM1 juta ke atas, namun perlu mempunyai had pembelian unit atau diberikan peratusan diskaun yang lebih rendah.
Katanya, bagi kuota Bumiputera untuk hartanah berharga di bawah RM600,000 pula perlu dikekalkan untuk memastikan hak Bumiputera dilindungi dan memberi peluang kepada Bumiputera membeli hartanah terutama rumah pertama.
"Namun, perlu disekat dari segi had pendapatan agar golongan 'maha kaya' tidak boleh membeli hartanah kuota Bumiputera untuk tujuan pelaburan.
"Semakan semula kuota Bumiputera ini perlu dilihat secara menyeluruh kesan baik dan buruknya. Jangan kerana ingin menghapuskan kepentingan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan, hak Bumiputera turut terhapus sepenuhnya," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1364091/kaji-kelemahan-pelaksanaan-kuota-hartanah-bumiputera